Plague Inc. – Simulasi, Strategi dan Sebar

Pengenalan

Berikutan wabak koronavirus menyebabkan permainan video Plague Inc sekali lagi menjadi popular. Namun, ramai yang tidak tahu bagaimana permainan ini berfungsi dan cara permainannya. Ini adalah untuk mereka yang ingin mengetahui apa itu Plague Inc.

Plague Inc. adalah permainan video simulasi strategi masa nyata yang dibangunkan dan diterbitkan oleh studio Ndemic Creations. Pemain boleh mencipta dan mengembangkan patogen dengan usaha untuk menghancurkan dunia dengan wabak kematian. Permainan ini menggunakan model wabak dengan set pembolehubah yang rumit dan realistik untuk mensimulasikan penyebaran dan keburukan suatu wabak.

Antara jenis-jenis wabak :-

Wabak biasa dalam Plague Inc ialah Bacteria, Bio-Weapon, Fungus, Nano-Virus, Parasite, Prion, dan Virus.

Wabak khas pula ialah Neurax Worm, Necroa Virus, Simian Flu, dan Shadow Plague.

Wabak Sinario pula ialah Frozen Virus, Nipah Virus, Black Death, Swine Flu, Smallpox dan sebagainya.

Sebagai pemain baru, Plague Inc hanya membenarkan pemain menggunakan “bacteria” sebagai permulaan wabak sebelum menggunakan wabak yang lebih mencabar. Jika pemain berjaya membunuh keseluruhan manusia di dunia, pemain akan diberikan markah penilaian dan tempoh masa anda membunuh keseluruhan manusia. Semakin singkat masanya, semakin tinggi markah yang anda peroleh. Oleh itu, permainan ini amat strategik kerana anda memerlukan kepakaran dalam mengembangkan patogen, juga penelitian dalam menyerang sesebuah negara. Hal ini kerana, setiap negara dalam Plague Inc amat unik dan memerlukan strategi yang tersendiri untuk memusnahkannya. Hal demikian juga, setiap negara mempunyai iklim yang berbeza iaitu diantara iklim sejuk dan panas. Perbezaan demografi negara memberi impak kepada penyebaran wabak. Kebolehan dan ciri-ciri penghantaran wabak boleh membantu penyakit anda menyesuaikan diri. Negara kaya lebih susah untuk terkesan kerana mereka mempunyai ubatan yang canggih. Berbeza pula dengan negara yang miskin, mereka mudah dijangkiti kerana kekurangan kemahiran dalam perubatan.

Kategori Evolusi

Penghantaran wabak bagi bakteria (Gambar).

Penghantaran(Transmission) wabak mengandungi 7 cara umum iaitu melalui Ternakan(Livestock), Burung(Bird), Rodensia(Rodent), Serangga(Insect), Darah(Blood), Air(Water), dan Udara(Air). Pemain memerlukan kos DNA untuk membangunkan penghantaran yang pemain inginkan. Setiap penyebaran ini efektif dalam beberapa jenis negara. Sebagai contoh, penghantaran wabak melalui ternakan akan memberikan bonus kepada negara luar bandar (Rural Country). Hal ini menyebabkan penduduknya lebih mudah dijangkiti wabak berbanding negara bandar yang kurang melakukan aktiviti penternakan. Berbeza pula dengan penghantaran wabak melalui rodensia kerana ia lebih efektif pada negara bandar (Urban Country). Bagi yang tidak tahu apa itu rodensia, rodensia adalah binatang mamalia kecil seperti tikus, arnab dan tupai yang mempunyai gigi depan yang tajam.

Setiap wabak mempunyai penghantaran wabak yang tersendiri dan kebiasaannya adalah 7 cara umum yang dinyatakan. Penghantaran wabak seperti kelawar(Bat) hanya muncul dalam sinario Necroa Virus, Shadow Plague, dan Nipah Virus. Kelawar menjadi tuan rumah dalam sinario Nipah Virus tambahan pula kos DNA poin yang diperlukan adalah 0. Selain itu, khinzir(Pig) juga merupakan penghantaran khas bagi sinario Mad Cow Disease. Ia membolehkan patogen untuk menyebar melalui penggunaan produk daging khinzir. Penghantaran wabak yang tidak disenaraikan adalah seperti fomit(fomite), serigala(Wolf), kuda(Horse), anjing(Dog), ikan(Fish), gandum(Wheat) dan sebagainya. Penghantaran wabak memainkan peranan penting dalam memusnahkan sesebuah negara yang berbeza geografi dan pembangunan negara.

Simptom(Symptoms) adalah gejala-gejala penyakit bagi suatu wabak. Semakin tinggi evolusi gejala semakin mematikan, menular atau menakutkan suatu patogen itu. Terdapat 6 gejala biasa yang disediakan bagi setiap wabak iaitu Loya(Nausea), Batuk(Coughing), Ruam(Rash), Insomnia(Insomnia), Sista(Cysts) dan Anemia(Anaemia). Pemain memerlukan kos DNA point bagi mengembangkan gejala biasa kepada suatu gejala yang lebih teruk. Antara simptom yang paling bahaya adalah “Hemorrhagic Shock”, “Total Organ Failure” dan “Necrosis”.

Sesetengah simptom akan menghasilkan simptom kombo yang umumnya meningkatkan keberkesanan penyakit malah meningkatkan kesedaran manusia terhadap penyakit tersebut. Lanjutan daripada itu, kajian terhadap penyakit akan dipercepatkan. Namun ada juga simptom kombo yang akan memperlahankan kajian. Berkaitan dengan kajian, ia adalah kajian yang dilakukan oleh para pengkaji untuk mencari penawar bagi wabak yang dihadapi mereka. Sebagai pemain, anda perlulah menghentikan atau memperlahankan kajian tersebut supaya tiada manusia akan mendapat penawar bagi wabak penyakit yang anda sebarkan.

Keupayaan(Abilities) adalah sifat yang meningkatkan kekuatan patogen. Kebanyakan keupayaan bagi setiap wabak adalah sama, tetapi ada juga wabak yang mempunyai kebolehan tersendiri. Terdapat 2 jenis keupayaan asas yang disediakan dalam Plague Inc, iaitu keupayaan iklim dan keupayaan perubatan. Jika pemain ingin mulakan wabak di iklim yang sejuk, sebaiknya pemain perlulah mengaktifkan keupayaan “Cold Resistance l”, iaitu patogen berevolusi kepada tahan suhu dan iklim yang sejuk. “Cold Resistance ll” pula peningkatan keberkesanan dalam iklim sejuk. Begitu juga dengan iklim panas, “Head Resistance” membolehkan wabak tersebut tahan panas dan lebih efektif. Selain itu, keupayaan perubatan adalah merujuk kepada kebolehan wabak dalam menentang penyembuhan. Ia menjadikan suatu kajian itu lambat dan mengurangkan peratusan penawar. Sebagai contoh, “Drug Resistance” iaitu patogen menghasilkan daya tahan kepada antibiotik. Kesannya, antibiotik menjadi kurang berkesan jika digunakan. Antara keupayaan perubatan lain adalah seperti “Genetic Hardening” dan “Genetic ReShuffle”.

Setiap wabak akan ada keupayaannya yang tersendiri. Seperti wabak fungus, keupayaannya adalah “Spore Burst”. Iaitu membebaskan spora ke udara untuk menjangkiti negara lain. Pada peringkat akhir, keupayaannya ialah “Spore Eruption” iaitu membebaskan letupan wabak ke udara. Contoh lain, keupayaan “Symbiosis” yang terdapat dalam wabak parasit. Iaitu menjadikan parasit lebih selaras dengan otak seseorang dan keupayaannya untuk tidak mendapat perhatian.

Negara

Image result for plague inc country

Peta dunia Plague Inc (Gambar).

Plague Inc, tidaklah begitu mengikut sempadan negara yang sebenar. Sebagai contoh Asia Tenggara dikategori sebagai satu negara. Iaitu terdiri daripada Semenanjung Malaysia, Myanmar, Thailand, Cambodia, Laos dan Vietnam. Manakala Sabah, Sarawak dan Brunei menjadi sebahagian daripada negara Indonesia. Oleh itu tidak perlu timbul kontroversi kerana ia hanyalah sebuah permainan video dan simulasi yang seakan nyata. Populasi manusia dalam Plague Inc adalah sebanyak 7,124,543,963 dan Afrika Tengah mendapat jumlah manusia yang paling banyak.

Peta dunia jika setiap negara dijangkiti wabak (Gambar).

Pembangunan Negara :-

“Urban Country” adalah negara yang majoriti penduduknya tinggal di kawasan bandar. Ini menjadikan penghantaran melalui rodensia lebih berkesan di negara-negara ini. Antara negara-negara yang dipilih sebagai negara bandar ialah USA, Japan, New Zealand, Sweden, Italy, UK, Germany, Libya, Mexico, Norway, Australia, China, France, Korea (Selatan).

“Rural Country” adalah negara yang majoriti penduduknya tinggal di luar bandar. Mereka lebih terdedah kepada penternakan daripada kebanyakan negara. Negara yang dipilih ialah Argentina, Negara Baltik, Negara Balkan, Bolivia, Brazil, C. Amerika, Caribbean, Afrika Tengah, Colombia, Korea (Utara), Afrika Timur, Finland, India, Indonesia, Maghribi, Madagascar, Peru, Poland, Rusia, Asia Tenggara, Sudan, Turki, Ukraine, dan Afrika Barat. Penghantaran wabak melalui ternakan adalah lebih berkesan di negara ini.

“Rich Country” adalah negara yang kaya. Kekayaannya menyebabkan penduduk di negara tersebut memdapat akses kepada dadah yang lebih berkesan untuk wabak pemain. Ini sebabnya mengapa pemain tidak disyorkan untuk memulakan wabak di negara kaya. Kebiasaannya mereka mempunyai dalam sepuluh kemudahan penyelidikan, menjadikan pembiayaan perubatan mereka sangat menyumbang kepada penyembuhan. Oleh hal yang demikian, “Drug Resistance l” amat berguna dalam mempercepatkan wabak di negara yang kaya! Begitu juga dengan “Drug Resistance ll”, “Drug Resistance lll” dan “Drug Immunity”. Sedih sekali “Drug Resistance lll” dan “Drug Immunity” hanya boleh didapati di beberapa jenis wabak sahaja.

“Poor Country” adalah negara yang miskin. Negara ini terdedah kepada penyakit dan kajian mereka untuk menyembuhkan wabak agak perlahan akibat jumlah dana yang terhad. Kebiasaannya, negara ini hanya mempunyai tiga atau empat kemudahan penyelidikan. Walau bagaimanapun, mungkin akan ada berita tentang program kesihatan yang menyebabkan wabak di negara miskin ini menjadi lambat. Antara negara yang dipilih sebagai negara miskin adalah Afghanistan, Algeria, Angola, Bolivia, Botswana, C. Amerika, Caribbean, Afrika Tengah, Asia Tengah, Colombia, Afrika Timur, Mesir, Kazakhstan, Madagascar, Maghribi, New Guinea, Pakistan, Peru, Filipina, Asia Tenggara, Sudan, Afrika Barat, dan Zimbabwe.

Iklim Negara :-

“Arid Climate” Iklim gersang – Afghanistan, Algeria, Australia, Asia Tengah, Mesir, Libya, Mexico, Maghribi, Timur Tengah, Pakistan, Peru, Arab Saudi, Afrika Selatan, Sepanyol, Sudan, Iraq, Iran, Kazakhstan.

“Balanced Climate” Iklim seimbang – Argentina, China, Perancis, Itali, Korea, Madagascar, New Zealand, Turki, Jepun, Amerika Syarikat.

“Cold Climate” Iklim sejuk – Negara Balkan, Negara Baltik, Finland, Norway, Peru, Poland, Rusia, Greenland, Kanada, Iceland, UK, Jerman, Eropah Tengah, Iceland, Ukraine, Sweden.

“Hot Climate” Iklim panas – Arab Saudi, Afrika Barat, India, Indonesia, Australia, Mesir, Filipina, Caribbean, Iran, Iraq, Zimbabwe, Sudan, Sepanyol, Afrika Selatan, Asia Tenggara(Myanmar, Thailand, Malaysia, Laos, Cambodia, Vietnam), Afrika Timur, Colombia, Pakistan, New Guinea, Brazil, Botswana, Timur Tengah, Mexico, Libya, Algeria, dan Angola.

“Humid Climate” Iklim lembab – India, Rusia, Jerman, Indonesia, Filipina, UK, Caribbean, New Guinea.

Plague Inc ini menggunakan suhu iklim negara yang sebenar agar ia kelihatan realistik seperti dunia nyata. Hal ini memudahkan pemain untuk mengenali geografi sesebuah negara.

Situasi dalam penyebaran wabak :-

Dalam negara, wabak pemain adalah benda hidup dan tersebar secara organik, melalui manusia ke manusia secara sendirinya.

Sempadan negara, lebih ramai penduduk di sebuah negara dijangkiti, lebih besar kemungkinan seseorang yang dijangkiti akan pergi ke negara baru melalui tanah, laut(kapal) dan udara(kapal terbang). Pengangkutan(Transmission) menyebabkan penyakit tersebar lebih pantas.

Jika negara menutup sempadan, kerajaan akan menutup lapangan kapal terbang dan sempadan jika mereka risau terhadap pandemik. Namun, burung dan haiwan masih dapat menembusi sempadan negara jiran. Negara yang berpulau adalah lebih selamat, tetapi mereka harus menutup jalan laut dan udara untuk keselamatan negara.

Lebih banyak informasi yang akan dikongsi berkenaan pada masa akan datang. Ndemic mengeluarkan kenyataan supaya jangan bergantung kepada aplikasinya untuk maklumat kesihatan. “Harap maklum bahawa Plague Inc. adalah permainan, bukan model saintifik dan wabak coronavirus adalah keadaan yang sangat nyata yang memberi kesan kepada sejumlah besar orang,” kata kenyataan tersebut. “Kami akan sentiasa mengesyorkan bahawa para pemain mendapatkan maklumat mereka secara terus dari pihak berkuasa kesihatan tempatan dan global.”

Sumber Rujukan :-

1. http://scientificgamer.com/thoughts-plague-inc-evolved/

2. https://plagueinc.fandom.com/

3. https://www.pikiran-rakyat.com/teknologi/pr-01334743/setelah-merebaknya-virus-corona-game-plague-inc-jadi-laris-manis-di-pasaran

4. https://teknoratz.com/berikutan-wabak-koronavirus-plague-inc-jadi-permainan-paling-popular-di-apple-app-store/

5. https://en.wikipedia.org/wiki/Plague_Inc.

6. https://arstechnica.com/gaming/2020/01/plague-inc-maker-dont-use-our-game-for-coronavirus-modeling/

7. http://menurutparaahli.com/2016/01/12/pengertian-definisi-dan-arti-istilah-kesehatan-fomit-foton/

Segala istilah sains diambil dari Dewan Bahasa Dan Pustaka. http://prpm.dbp.gov.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *