Cerpen (Misteri) – KAWAN AKU

          Musim hujan menyebabkan halaman rumahku dipenuhi lumpur. Aku tinggal di kawasan perumahan teres. Kawasan ini agak sunyi walaupun berpenghuni. Setahu aku kawasan ini baru dibuka sejak dua tahun yang lalu.Aku telah menetap disini hampir 6 bulan bersama ibu dan ayah. Aku juga telah bertukar alma mater dan mempunyai kawan baharu. Sudah tiga hari aku di rumah sendirian. Ibu dan ayah pulang ke kampung. Kata mereka mahu bincang pasal tanah pusaka datuk dan beberapa perkara mustahak. Aku tidak berminat untuk masuk campur tentang hal itu. Jadi aku membuat keputusan untuk tinggal dirumah walaupun sekarang cuti penggal. Memandangkan aku anak lelaki dan tindakanku ini membuktikan yg aku pemberani. Tambahan pula banyak tugasan sekolah yang perlu aku selesaikan. Aku melabuhkan punggung diatas sofa yang empuk setelah menyiapkan separuh dari tugasan sekolah. Aku bersantai-santai sambil menonton sebuah rancangan dikaca TV. Tiba-tiba aku teringat tentang tugasan berkumpulan yang diamanahkan oleh guruku. Aku segera mencapai telefonku di atas meja dan terus menelefon kawan-kawan sekumpulanku. Kami memang akrab di sekolah. Kami telah merancang malam ini tugasan akan dilakukan di rumahku. Mengapa malam ini? Tiada waktu lainkah? Tiada jawapan. Tiada yang salah pada waktu demi menyiapkan tugasan berkumpulan ini. Malah bila-bila masa sahaja kami boleh buat. Jam sudah menunjukkan pukul enam petang. Aku berasa bosan sendirian dirumah. Aku menuju ke bilikku untuk membaca buku tapi hari ini aku seolah-olah tiada ‘mood’ untuk membaca. Aku cuba mendengar lagu tapi tetap bosan. Mungkin aku tidak sabar tunggu malam ini dan lebih memikirkan tentang tugasan berkumpulan yang perlu dijalankan malam ini.

          Malam sudah melabuhkan tirainya. Jam sudah menunjukkan pukul 8:30 malam. Aku menyediakan segala bahan yang kupunya untuk tugasan tersebut. ‘Dingdong’!! Loceng rumahku berbunyi. Aku menuju kearah pintu. Kedua-dua kawanku sudah terpacak di hadapan rumahku. Mereka kelihatan kedinginan. Mungkin kerana hujan dan udara sejuk. Semasa membuka pintu pun aku dapat rasa kesejukan angin memeluk tubuhku. Kami brtiga berkumpul di ruang tamu. Aku menghidang sepinggan kek pisang dan minuman coklat panas. Sebagai penghangat tubuh mereka. Setelah itu kami memulakan tugasan.Agak aneh kedua-duanya kurang bercakap malam ini. Mereka hanya bersetuju apabila aku memberi idea dan pendapat. Mungkin mereka penat di tambah pula dengan hujan yang mengundang kesejukan malam sekali-sekala menerkam tubuh. Sejak tadi sudah banyak kali aku mendengar telefonku berdering. Aku hanya membiarkannya kerana ingin memberi sepenuh tumpuan pada tugasan tersebut. Imran salah seorang kawanku meminta izin untuk ke tandas dan aku membantunya menunjukkan arah ke tandas. Aku rasa nak berehat sebentar. Aku berbual dengan rakanku seorang lagi, Mikail. Suasana yang agak sepi tadi sedikit riuh kerana perbualan kami berdua. Aku perasan yang Mikail banyak kali mengalihkan pandangannya kesekitar rumahku. Terlihat juga riak cemas diwajahnya. Namun aku tidak mengambil serius hal itu dan tidak pula bertanya sebab dia mempamerkan wajah seperti itu. Kami meneruskan perbualan kami. “aik lama betul Imran ke tandas” kataku pada Mikail. Dari tadi tak nampak pun batang hidungnya. Mikail hanya membisu. Ada sesuatu menerpa kami dari belakang. Aku terkejut. Begitu juga Mikail. Rupa- Rupanya Imran. Dia sengaja ingin mengenakan kami. Dia memberitahu dia lama di tandas kerana sakit perut.

          Jam sudah menunjukkan hampir pukul sepuluh malam. Tugasan kami hampir siap. Tiba-tiba telefonku berdering lagi. Aku mengambil telefonku dan menatap skrin tertera panggilan dari Imran. “Imran?”. Dengan pantas aku menoleh ke arah Imran. Imran tiada, hilang dari radar.Mikail senyap seribu bahasa apabila aku tanya tentang keberadaan Imran. “dia ni main-main ke?” “nak kenakan aku ke?” soalku. Aku masih boleh bertenang. Aku fikir dia hanya bergurau. Mikail memandang aku dengan wajah penuh kerisauan. “kau ok?” soalku padanya. Aku mula berasa hairan. Kemana perginya Imran?.. Aku cuba mencari nya dikeliling rumah namun tiada. Tiba-tiba telefonku berdering lagi. Aku mendapat panggilan dari Imran!.. Aku agak terkejut.Aku menjawab panggilan tersebut. Imran bersuara. Suaranya kedengaran serak. Dia memberitahu bahawa dia tidak dapat datang kerumahku malam ini. “kau ni nak bergurau dengan aku agak-agaklah lah Imran” kataku. “Maafkan aku, aku tak dapat datang, aku betul-betul rasa bersalah, dah lah kita satu Kumpulan, aku minta maaf! ” Imran menjawab. Suaranya seakan merintih. Aku bertambah hairan. Perasaan takut mula menyelubungi diriku. “kau biar betul Imran..tadi kau ada kat sini dengan kami berdua.. Kita sama-sama buat tugasan”..jawabku dengan penuh debaran. Belum sempat aku menyambung kata-kata panggilan terputus. Aku cuba menelefon dia tapi tidak dapat. Aku mula cemas. Tangan ku menggeletar. Kesejukan angin menambah ketakutan ku.

          Aku memandang Mikail yang duduk di sofa sejak tadi. Aku tahu dia mendengar perbualan kami. Wajahnya terlihat sangat pucat. Aku menghampirinya. “kau ok ke tak ni Mikail? “. Dia hanya mengangguk. Aku tidak mengerti langsung apa yang berlaku malam ini. Mikail menepuk bahuku. Tindakannya seolah ingin memberitahu ku sesuatu. Dia memberitahu bahawa ada berlaku kemalangan dalam perjalanan ke rumahku tadi. Jalan agak sesak.Aku mengerutkan dahi. “Apa yang kau cuba sampai kan?” soalku pada Mikail. Aku menjadi emosional. Aku tidak tahu siapa yang bersama kami tadi. “Sebenarnya dari tadi aku tidak melihat Imran” balas Mikail. “Jadi apa kena mengena dengan Imran dan kemalangan yang kau cerita tadi?” soalku agak marah. Mikail hanya menunduk. Aku menjadi buntu.Perasaanku seperti dipermainkan. Siapa yang bersama kami tadi. Apa sudah jadi???. Malam ini merupakan malam terburukku. Aku hampir hilang akal.Berhadapan dengan situasi ini sesekali menguji kewarasanku. Entah apa yang aku rasa. Perasaan takut, cemas, keliru bagai kan sudah bersatu. Aku menoleh ke arah Mikail. Aku terkejut kerana darah mengalir keluar dari hidungnya.”wei hidung kau berdarah! ” jeritku. Aku seorang yang hemophobia sejak kecil lagi. Aku hampir pitam melihat darah tersebut. Mikail cepat-cepat lap darah di hidungnya. Aku berasa risau. “kau sakit ke?” soalku resah. Dia hanya menggeleng. Wajahnya semakin pucat,bibirnya terlihat sangat kering. Aku mengusap belakang tubuhnya. Tubuhnya sangat dingin.Aku cuba membawa sebaldi air suam-suam hangat untuk dia merendamkan kakinya. Sekurang-kurangnya dia dapat menghangatkan tubuhnya. Setelah itu dia berehat dan tertidur di sofa. Aku nekad untuk membuat panggilan pada Imran tetapi tidak dapat. Aku gelisah. Fikiranku bercelaru. Aku tidak pasti sama ada aku bermimpi atau berada di realiti.

          Aku cuba menenangkan diri dan fikiran. Aku cuba membasahkan tekak dengan segelas air sambil melihat di luar melalui jendela. Setelah itu, aku menuju ke ruang tamu untuk melihat keadaan Mikail. Dia masih tidur. “biarlah dia tidur disini malam ini.. Sekurang-kurangnya aku tidak keseorangan” bisikku.Aku tinggalkan dia sebentar kerana aku ingin ke bilik untuk mengambil bantal dan selimut. Semasa menaiki anak tangga ketiga aku tergelincir dan kepalaku terhentak atas lantai. Aku tidak sedar kan diri. Mataku celik. Rasa seperti berpinar-pinar. Sedar-sedar sahaja aku sudah terlantar di atas katil. “aku kat mana ni?..” Bau-bauan ubat yang menusuk hidung ku meyakinkan aku yang aku sedang berada di hospital. Aku cuba untuk bangun. Tiba-tiba aku dihalang oleh seseorang. “ibu?..” Ibu menenangkan ku. Aku memegang kepala ku yang terasa amat sakit. “apa dah jadi bu?.. Kenapa saya ada kat sini?”.”mana kawan-kawan saya?” . Soalku bertubi-tubi. Ibu menjelaskan bahawa semalam mereka pulang kerumah dan mendapati pintu rumah tidak berkunci. Alangkah terkejutnya mereka apabila melihat aku terbaring diatas lantai. Kepalaku berdarah. Agak teruk tapi tidak parah. Tapi rasa sakit ini seolah-olah mahu pecah rasanya kepalaku ini. “mana kawan-kawan saya?” soalku lagi. Air muka ibu serta-merta berubah. Ibu terus memeluk ku. “kenapa ni bu?” soalku. “semalam mereka ada bersama saya.. Kami buat tugasan berkumpulan bersama..” sambungku lagi. Tiba-tiba ayah ku muncul di muka pintu. Ayah mempamerkan riak wajah yang tidak mampu aku fahami. Aku seakan-akan berhadapan dengan teka-teki.

          Ayah menghampiriku dan mengusap kepalaku yang berbalut. Ayah dengan perlahan berkata”abang, banyakkan bersabar,ayah tahu anak ayah kuat.. malam tadi kawan kamu Imran dan Mikail telah terlibat dalam satu kemalangan di simpang masuk kawasan perumahan kita.. Kemalangan tu telah melibatkan dua kereta dan kawan-kawan kamu yang menunggang motosikal..kawan-kawan kamu tidak dapat di selamat kan.. Mereka meninggal dunia di tempat kejadian.. Masa tu ayah dan ibu baru sampai dan jalan agak sesak..ayah perasan ada buku bertaburan di tempat kemalangan.. Ayah cuba telefon kamu tapi tidak dapat “kata ayahku. Aku terlopong mendengar kata-kata ayah. Kelopak mataku dipenuhi air mata. Pipiku basah. Air mataku mencurah-curah. Aku menangis sekuat hati. Dadaku terasa ditusuk-tusuk.” kawan-kawan aku!! “,…” Ya Allah!! “Tubuhku terasa amat lemah. Aku terlalu sedih. Aku tidak pernah rasa sesedih ini. Ibu mendakapi. Aku tidak mampu lagi berfikir. Jiwaku seakan kelam. Segala persoalan yang membukit lebur begitu sahaja. Aku tersandar di bahu ibu. Mataku masih bergelinang dengan air mata. Perlahan-lahan mataku terpejam. Petang itu aku tersedar. Aku masih berada di hospital. Aku cuba mengingati apa yang telah terjadi. Aku menampar – nampar wajahku untuk memastikan sama ada aku bermimpi. Aku cuba untuk bangun tapi tubuhku terlalu lemah. Tiba-tiba pipiku basah lagi. Aku menangis lagi. Ya. Remaja lelaki yang berusia 17 tahun yang kehilangan kawan-kawan nya. Kawan-kawan yang begitu akrab. Perasaan ku tadi terus berubah. Layar fikiran ku membawa ku mengingati kejadian malam itu. Dimana aku dan kawan-kawanku membuat tugasan bersama. Aku bersama mereka. “mereka??”. Sejak kejadian itu aku menjadi seorang yang pendiam, aku trauma, aku serik. Aku tidak pernah menceritakan hal ini pada ibu dan ayah. Genap setahun kejadian pada malam itu. Dan segenap setahun juga kawanku pergi meninggalkanku. Meskipun kejadian ini tidak mampu di terima logik akal. Namun inilah kebenarannya. Mereka. Kawan aku.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *